Dutch Lady Siasat ‘Objek’ Meloyakan Dalam Susu

Susulan aduan oleh pengguna yang memuatnaik gambar objek meloyakan dalam susu kotak yang dibeli di pasaraya, pengeluar susu terbabit iaitu Dutch Ladu telah tampil memberikan respon dengan berjanji akan menyiasat kejadian itu.

Menerusi laman Facebook, Dutch Lady memaklumkan bahawa mereka sedang cuba menghubungi pelanggan yang menyebarkan gambar tersebut untuk membuat penyiasatan tentang punca sebenar kejadian.

Bagaimanapun jawapan yang diberikan mereka tidak dapat diterima pengguna yang rata-rata mahukan penjelasan segera.

Apa yang pasti, ia membuatkan ramai pengguna berasa risau dan takut untuk terus meminum susu kotak jenama tersebut.

Dutch Lady yang memahami kerisauan pengguna bagaimanapun meminta masa diberikan kepada mereka sementara siasatan terperinci dijalankan.

Setelah terus diasak oleh pengguna, Dutch Lady kemudiannya mengeluarkan satu lagi status yang lebih tepat untuk mengurangkan kerisauan pengguna mereka:

(Kami ingin berkongsi maklumat terkini. Sampel pengadu tersebut masih tidak dapat diperolehi. Maklumat yang kami kongsikan disini adalah berdasarkan gambar yang dimuatnaik di Facebook oleh pengadu tersebut. Apa yang anda lihat di dalam kotak susu tersebut kelihatan sama seperti mineral yang telah menjadi pepejal. Ini tidak berbahaya dan terhasil akibat dari kotak susu rosak atau penyimpanan yang tidak betul. Kejadian ini jarang berlaku tetapi tidak mustahil kerana seperti yang kita tahu, susu atau produk tenusu mudah rosak. Selepas dibuka ia sepatutnya dihabiskan antara 2 – 3 hari dan disimpan di tempat sejuk dan kering. Walaupun sampel pengadu belum diperolehi, kami telah memulakan sisatan dalaman. Keputusan makmal awal berdasarkan sampel dari ‘batch’ sama yang dibeli oleh pengadu, telah menunjukkan bahawa sampel dari ‘batch’ ini tidak rosak dan selamat untuk diminum. Untuk keterangan lanjut, sila PM kami atau e-mel kami di dutchladycareline@frieslandcampina.com).

Diharapkan dengan penjelasan ini, isu berkaitan ‘objek’ dalam susu kotak terungkai serba sedikit.

Sebagai pengguna, nampaknya bukan label tarikh luput sahaja perlu diketahui tetapi juga cara penyimpanan produk yang betul.

Apa pun untuk penjelasan lebih jelas, kita nantikan keputusan siasatan oleh Dutch Lady dan Kementerian Kesihatan Malaysia.  Webberita | Terkini via MYNEWSHUB

Leave a reply