Kes Gadis Mati Didera: Polis Rakam Percakapan 5 Individu

KEMAMAN – Polis telah merakamkan percakapan lima individu termasuk jiran tetangga gadis yang mati dipercayai didera di Binjai, di sini pada 26 April lepas.

Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Mohd Said Ibrahim berkata kesemua mereka yang berusia antara 20 hingga 50 tahun itu telah dipanggil sejak minggu lalu bagi membantu siasatan.

Ketika dihubungi Bernama hari ini, beliau berkata polis juga telah mendapatkan perintah mahkamah untuk melanjutkan reman terhadap empat anggota keluarga gadis itu yang tamat hari ini sehingga 15 Mei ini.

Polis telah menahan empat anggota keluarga gadis berkenaan pada Ahad lalu untuk siasatan.

Laporan bedah siasat mendapati gadis berusia 22 tahun itu yang hanya seberat 18 kilogram mengalami kebuluran dan juga penderaan seksual.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan. – BERNAMA

Leave a reply