Lelaki Durjana Tendang Muka Anak Tiri Sampai Mati

WASHINGTON – Kanak-kanak comel ini, Michael Rigney baru berusia dua tahun namun menjadi mangsa kekejaman bapa tirinya yang sanggup menendang mukanya hingga dia maut akibat kecederaan di kepala.
Lelaki bertopengkan syaitan itu, Branden Taylor mengaku kepada polis bahawa dia telah menendang Michael di rumah mereka di Tulsa di Oklahoma, Amerika Syarikat.

Meskipun Michael tidak sedarkan diri selepas ditendang dan badannya dipenuhi dengan lebam tetapi dia tidak pula dibawa ke hospital.

Ibu Michael iaitu Tina memberitahu polis Michael ditinggalkan bersama Branden selama sejam selepas dia keluar ke rumah ibunya.

Sekembalinya ke rumah, Branden memberitahu Tina bahawa anaknya itu sedang tidur. Hanya selepas kanak-kanak tersebut tidak bangun barulah Tina mendapati anaknya sudah meninggal dunia.

Buat masa ini Branden, 30, hanya didakwa dengan tuduhan dera kanak-kanak dan cuai sahaja disebabkan pihak berkuasa masih belum memutuskan sama ada kematian kanak-kanak itu akibat dibunuh.

Lima kanak-kanak lain yang turut berada di rumah berkenaan telah ditempatkan di bawah jagaan anggota keluarga yang lain.

Dalam pada itu, Tina berharap agar Branden dapat segera dihukum mati kerana menyebabkan kematian anaknya. – MYNEWSHUB.CC

Leave a reply