Solat Atas Jalan Raya, Gambar Jadi Viral

TERSENTUH hati pada masa sama mungkin rasa pelik wujud di hati kita apabila terlihat gambar seorang wanita lengkap bertelekung bersolat dan membaca Al-Quran di atas jejambat di ibu negara.

Gambar itu tersebar di laman sosial sejak semalam dan ia berlaku di jejambat berhampiran bangunan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Seorang anggota polis trafik terpaksa dikerahkan untuk mengawal lalulintas bagi mengawasi wanita berkenaan yang sedang bersolat lengkap dengan sejadah.

Pemeriksaan awal menunjukkan, wanita itu dipercayai warga Indonesia, Anita Shiar, 27, mendakwa dia bermimpi ditimpa sesuatu perkara yang tidak baik lalu bertindak bersembahyang di merata tempat.

Ketua Polis Dang Wangi, ACP Zainuddin Ahmad mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

Menurut Zainuddin, wanita yang ditemui tanpa dokumen pengenalan diri itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan lanjut.

Sementara itu jurucakap HKL mengesahkan wanita itu kini sedang menerima rawatan di hospital berkenaan. – Webberita | Terkini via MYNEWSHUB.MY

Leave a reply